BICARA MATEMATIK

Monday, July 23, 2012

Monday, July 16, 2012

DUIT SYILING BARU

Duit Syiling Malaysia Siri Ketiga

Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk duit syiling Malaysia siri ketiga ini. Dengan tema 'Keunikan Malaysia', reka bentuk baharu duit syiling ini memaparkan motif-motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna negara. Duit syiling ini menyerlahkan identiti kebangsaan Malaysia yang kaya dan pelbagai dengan begitu indah sekali.

Ciri-ciri Am

Bahagian hadapan setiap denominasi memaparkan motif berbeza, 14 titik untuk melambangkan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan dan (kecuali duit syiling 50 sen) lima garis mendatar bagi menggambarkan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Bahagian belakang duit syiling pula memaparkan motif Bunga Raya atau Rosa-sinensis, iaitu bunga kebangsaan Malaysia, tahun penempaan, nilai muka duit syiling dan perkataan 'BANK NEGARA MALAYSIA'.

Spesifikasi Teknikal
Nilai Muka
50 sen
20 sen
10 sen
5 sen
Logam
Nikel Loyang Bersalut Kuprum
Nikel Loyang
Keluli Tahan Karat
Keluli Tahan Karat
Garis pusat (mm)
22.65
20.60
18.80
17.78
Berat (gram)
5.66
4.18
2.98
1.72





Reka Bentuk Duit Syiling Baru

  • Bahagian Hadapan Duit Syiling
Motif untuk denominasi 5 sen, 10 sen dan 20 sen memaparkan empat belas titik yang melambangkan tiga belas Negeri serta Wilayah Persekutuan. Motif untuk duit syiling 50 sen mempunyai lima garis mendatar yang melambangkan lima prinsip Rukun Negara.
  • Motif bagi setiap denominasi adalah seperti yang berikut:
Denominasi
Ikon
50 sen
Sulur Kacang
20 sen
Bunga Melur
10 sen
Orang Asli Motif
5 sen
Destar Siga


50 sen
Sulur Kacang

Motif sulur kacang pada duit syiling 50 sen amat terkenal kerana sering digunakan oleh para pengukir dalam seni ukiran kayu dan perak mereka. Kelembutan lingkaran dan juntaian pokok kacang tergambar dalam ukiran pada barang kemas, peti, dan juga pada bahagian-bahagian rumah kayu tradisional seperti muka pintu, bingkai tingkap serta panel kayu pada dinding rumah. Garisan halus pada latar belakang motif merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan.

Ciri Keselamatan

Image pendam duit syiling 50 sen akan kelihatan apabila duit syiling tersebut disendeng pada sudut yang berlainan.


20 sen
Bunga Melur

Bunga melur mendapat tempat yang istimewa dalam kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia. Keharuman bunga ini menjadikannya sebagai satu elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan. Motif bunga melur juga sering terdapat pada hasil kesenian dan pertukangan tangan tradisional seperti sulaman dan ukiran perak. Pada duit syiling 20 sen baharu ini, bunga melur dipaparkan dengan berlatarkan motif kain destar siga.


10 sen
Motif Orang Asli

Orang Asli di Malaysia cukup terkenal dengan kemahiran seni anyaman daun-daun dan tumbuhan setempat untuk dijadikan perhiasan seperti hiasan kepala, selempang dan skirt yang dipakai di upacara dan majlis tradisional. Setiap kaum memiliki corak anyaman tersendiri yang lazimnya diilhamkan daripada sistem kepercayaan dan persekitaran mereka. Duit syiling 10 sen baharu mengabadikan seni warisan ini dalam bentuk corak anyaman unik suku kaum Mah Meri di Semenanjung Malaysia.


5 sen
Destar Siga

Kain destar siga merupakan sejenis tenunan kain asli suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Ia biasanya dijadikan sebagai hiasan kepala dalam majlis tradisi mereka. Kain hiasan kepala ini ditenun terutamanya dengan benang hitam dan diserikan dengan benang pelbagai warna bercorak geometri serta motif yang diilhamkan daripada flora dan fauna. Dengan berlatarkan motif sulur kacang, destar siga menjadi corak utama pada duit syiling 5 sen baharu.

DUIT BARU RM MALAYSIA 2012


GAMBAR WANG KERTAS BARU 2012

Bank Negara Malaysia akan memperkenalkan kembali wang kertas RM20 selepas 16 tahun dihentikan. Pengenalan semula wang kertas RM20 dalam siri mata wang baru ini penting kerana ia berfungsi sebagai perantara yang menghubungkan jurang nilai antara RM10 dan RM50 dan akan memudahkan pengguna membuat bayaran.

Wang kertas RM20 telah lama diperkenalkan sejak siri kedua pada tahun 1982 dan telah dihentikan pengeluarannya pada 1995.

Kakitangan Bank Negara, Nor Aimah Mohd Nor,32, menunjukkan Note baru Ringgit Malaysia yang akan di keluarkan pada Julai tahun depan, di Kuala Lumpur, Rabu.



Kakitangan Bank Negara menunjukkan Note baru Ringgit Malaysia wang kertas dan wang syiling keluaran terbaru yang akan dikeluarkan pada Julai tahun depan. Rekaannya menonjolkan hiasan tradisional Malaysia dan gambar ibu pejabat Bank Negara di muka bertentangannya.




Rekaannya menonjolkan hiasan tradisional Malaysia dan gambar ibu pejabat Bank Negara di muka bertentangannya.

Ia merupakan sebahagian daripada siri wang kertas dan duit syiling terbaru yang bakal memasuki edarannya pada awal tahun depan. Bagi anda yang ingin melihat gambar duit syiling baru 2012


WANG KERTAS MALAYSIA SIRI BAHARU


Keunikan Malaysia
Wang Kertas Malaysia Siri Baharu

Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk wang kertas Malaysia siri terbaharu ini. Dengan tema 'Keunikan Malaysia', siri keempat wang kertas Malaysia ini memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi.

Ciri-ciri Am

Pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas, telah dikekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga raya Rosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan) dan corak songket kain tenunan tradisional.

Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi yang khusus bagi Malaysia.


DenominasiIkon
RM100Gunung Kinabalu dan pembentukan batu mercu batu kapur di lembah Gunung Api
RM50Kelapa Sawit dan Bioteknologi
RM20Penyu Karah dan Penyu Belimbing
RM10Rafflesia
RM5Burung Enggang Badak
RM1Wau Bulan


DenominasiBahan AsasDimensiWarna
RM100Kertas150mm X 69mmUngu
RM50Kertas145mm X 69mmHijau-biru
RM20Kertas145mm X 65mmJingga
RM10Kertas140mm X 65mmMerah
RM5Polimer135mm X 65mmHijau
RM1Polimer120mm X 65mmBiru




1. WANG KERTAS RM100




Keajaiban Alam Semula Jadi
Dua keajaiban alam semula jadi terkemuka negara yang diisytiharkan sebagai 'Tapak Warisan Dunia' oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipaparkan pada wang kertas RM100.


Keajaiban alam semula jadi yang mengagumkan ini ialah Taman Kinabalu di Sabah, dengan Gunung Kinabalu yang hebat dan agung (iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara) dan pembentukan batu mercu batu kapur yang menakjubkan di lembah Gunung Api, yang ditemui di Taman Negara Mulu di Sarawak.


Kedua-duanya adalah antara keajaiban alam semula jadi di Malaysia yang memberi pengunjungnya satu pengalaman yang unik.




2. WANG KERTAS RM50




Pertanian dan Teknologi
Kelapa sawit dan bioteknologi dipaparkan pada wang kertas RM50 sebagai ikon ekonomi Malaysia yang berkembang maju. Kelapa sawit telah menjadi tanaman pertanian negara yang paling utama dari segi ekonomi kerana Malaysia merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia.

Bioteknologi terus meningkatkan kedudukan komoditi ini dalam rantaian nilai, menyokong transformasi ekonomi negara ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan.

Minyak sawit mentah juga digunakan sebagai komoditi dasar bagi memudahkan pembiayaan secara Islam.




3. WANG KERTAS RM20




Hidupan Laut
Dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea), yang juga merupakan lambang hidupan laut yang pelbagai dan berwarna-warni di perairan tropika kita, dipaparkan pada wang kertas RM20 baharu.

Penyu Karah mudah dikenali melalui muncungnya yang melengkung dan kulitnya yang bersisik manakala Penyu Belimbing pula mempunyai kulit yang keras dan tujuh jaluran pada cangkerangnya.

Kewujudan penyu-penyu ini memberi peringatan bahawa kehidupan mereka bergantung pada imbangan aktiviti manusia dan pemuliharaan hidupan laut yang perlu dikendalikan dengan bijaksana.

4. WANG KERTAS RM10




Flora
Hutan tropika Malaysia yang tumbuh subur, iaitu salah satu hutan hujan tertua di dunia, mempunyai berjenis-jenis pokok berbunga dan antara yang paling ikonik ialah bunga yang terbesar di dunia iaitu Rafflesia.

Spesies Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 baharu ini merupakan spesies asli Semenanjung Malaysia dan mula-mula sekali ditemui di Hutan Simpan Royal Belum di negeri Perak pada tahun 2003.

Bagi memperingati penemuan ini, bunga yang mengagumkan ini dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.

5. WANG KERTAS RM5




Hidupan Liar
Burung Enggang Badak (Buceros rhinoceros), iaitu salah satu spesies burung enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia, dipaparkan pada wang kertas polimer RM5 baharu.

Burung hutan yang menarik, bersayap lebar dan berekor panjang yang boleh ditemui dalam kelompok kecil di hutan hujan di seluruh negara ini memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak yang turut dikenali sebagai 'Bumi Kenyalang'.

Burung enggang juga melambangkan simbol kekuatan dan keberanian bagi masyarakat asli Sarawak.

6. WANG KERTAS RM1




Sukan Tradisional
Permainan wau merupakan sukan tradisional yang popular di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Permainan wau juga secara tradisinya merupakan suatu acara untuk meraikan hasil tuaian yang baik yang merapatkan masyarakat tempatan negeri-negeri tersebut.

Wau Bulan adalah antara wau Malaysia yang terkenal dan paling ikonik, dan dipaparkan pada wang polimer RM1 baharu.

Wau Bulan buatan tangan, yang diperbuat daripada buluh dan kertas, juga menjadi barang hiasan popular yang menghiasi rumah-rumah di Malaysia.